
PERGESERAN antara MCA dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz diteruskan lagi dengan kecaman terbaru Pemuda MCA terhadap menteri pelancongan itu. Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Chiong membangkitkan isu pakaian hitam Nazri pada sambutan Tahun Baru Cina di Sungai Petani minggu lalu. Chee Chiong menggesa Perdana Menteri memecat Nazri sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana ‘tiada sensitiviti budaya’. Kebudak-budakan sungguh pemimpin MCA ini.
Siapa Chee Chiong sehingga mahu mengarah orang memecat individu tertentu? Besar sangatkah sumbangan MCA dalam politik negara? Kebanyakan kerusi yang dimenanginya pun rata-rata di kawasan orang Melayu. Jika orang Melayu tidak mengundi MCA, MCA mungkin berputih mata. Pendek kata, keberadaan MCA dalam politik negara dan ‘jasa’ yang ditinggalkan adalah kerana ihsan orang Melayu.
Terbaharu, MCA masih menuntut tambahan kerusi kawasan majoriti Melayu untuk ditandingi, termasuk Parlimen di kawasan Kuala Lumpur yang mereka kalah sebelum ini, seperti Bandar Tun Razak. Harapkan undi, siapa untuk memenangkan mereka, kalau bukan undi Melayu. Ahli MCA sendiri belum tentu mengundi calon MCA. Bertolak ansur dan bekerjasamalah. Jangan kiasu sangat. Jika kalah pun nanti masih ada kerusi senator yang menanti.
Justeru, tidak perlulah membesarkan isu yang remeh temeh. Soal Menteri Kebudayaan dan Pelancongan tidak mempunyai sedikit pun sensitiviti budaya, itu hak dia. Beliau memakai pakaian serba hitam menghadiri rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina, itu pun hak dia. Dia yang tuan punya baju, suka hati dialah nak pakai masa bila. Sejak bila pula ada undang-undang menetapkan kena pakai baju warna apa ketika menghadiri sesuatu majlis?
Jika begitu keadaannya, kenapa tidak kenakan syarat kepada semua yang menghadiri majlis tersebut supaya menukar warna rambut kepada warna selain daripada warna hitam, yang dikaitkan membawa nasib malang. Oleh kerana sambutan Tahun Baharu Cina, semua kena tukar dan celup warna rambut kepada merah? Kenapa pemimpin MCA tidak tukar warna rambut dan segala bulu yang tumbuh di badan kepada warna merah sempena perayaan Tahun tersebut jika hitam dikaitkan dengan nasib malang? Rasional sedikit. Nak kata BODOH nanti marah pulak.
Ya, tidak dinafikan bahawa warna hitam sinonim dengan kesedihan dalam budaya Cina. Tetapi tidak dalam budaya lain. Dalam Islam, warna adalah warna. Ia adalah kurniaan Allah. Tidak timbul soal hitam itu sedih. Apakah orang berkulit hitam perlu mengecat kulitnya menjadi putih semata-mata untuk hadir Tahun Baharu Cina. Kadang kala hitam itu menawan. Persoalannya, sejauh mana kita menghargai erti warna.
Apa guna berpakaian merah atau hitam jika hati penuh dengan kepura-puraan? Lebih baik menjadi seperti Nazri, sekurang-kurangnya beliau berterus terang daripada menjadi manusia hipokrit. Sekarang ramai ultra kiasu yang hipokrit.
Bila mahu mendapatkan kepentingan di negeri pembangkang, dikutuknya kerajaan pusat. Begitu juga sebaliknya, bila mahu mendapatkan kepentingan pusat dikutuknya pembangkang. Pendek kata, mereka mahu makan dua-dua.
Sebab itu sangat beruntung menjadi ultra kiasu hari ini. Boleh makan kiri kanan. Jika MCA benar-benar ikhlas dan tidak kepura-puraan, sudah tentu MCA akan bersama kita mengutuk video Namewee yang diviralkan sempena Tahun Baharu Cina yang menggunakan ikon anjing (seks) berlatar belakangkan Putrajaya, bukan di Tokong. Kenapa MCA senyap sepi. Kena kepada kita tidak mengapa, kena pada mereka melenting. MCA ini siapa?
Hairan sungguh saya, sehingga warna pakaian pun hendak ditetapkan warna apa. Siapakah yang mengeluarkan wang untuk mengadakan rumah terbuka tersebut. Wang MCA atau wang rakyat. Jika wang rakyat, suka hati rakyat lah nak pakai baju warna apa.
Cuma saya musykil bila pemimpin MCA mahu memakai baju Melayu ketika masuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. MCA sangat berbanggga memakai ‘blues jacket’, ‘blazer’ dan ‘tie’. Tetapi tidak sama sekali mahu memakai kebangsaan Melayu seperti wakil rakyat Melayu yang lain. Apakah pakaian Melayu membawa ‘sial’ si pemakai atau kepada pemimpin MCA.
Janganlah hipokrit. MCA boleh mengaburi mata orang lain, tetapi bukan mata saya. Cukup.. sudah cukuplah ‘attack’ Nazri Aziz. Dia ada hak bersuara dalam sistem demokrasi. MCA gatal punggung pasal apa.
Sekian lama, MCA menyingung perasaan umat Islam dengan mencampuri hal ehwal agama Islam. Kami diam sahaja. Sehinggakan saya mengambil keputusan keluar daripada parti perkauman ini kerana terlalu menentang Akta 355 yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Kenapa begitu lantang?
Wang bapak kamukah untuk mengadakan rumah terbuka tersebut, sehingga mahu menetapkan warna orang yang mahu menghadirinya. Ditakdirkan nanti bila ada orang menghadiri majlis kematian orang Cina dengan memakai baju merah. Apakah nanti MCA akan bertindak menghalau orang tersebut?
Tidak semua faham budaya Cina. Jika mereka faham pun, sekiranya dia tidak mahu mengikut. Kita tidak boleh buat apa-apa sebab itu hak dia, bukan hak kita.
Ramai pemimpin MCA memakai skirt pendek menghadiri majlis keramaian dan majlis kematian orang Melayu, kita tidak kisah pun. Sebab kita faham, kamu bukan Islam dan mungkin kerana kejahilan. Kenapa perlu membuang masa dengan isu remeh temeh ini?
Saya sendiri ketika mengajar subjek hubungan etnik, sentiasa mengingatkan pelajar supaya menjaga sensitiviti setiap kaum di negara kita. Dalam soal warna misalnya, hitam dan putih itu melambangkan kesedihan. Jika pergi menziarahi majlis kematian orang Cina, maka hormatlah dengan memakai warna tersebut.
Namun, pepatah orang putih ada berkata, kita boleh bawa kuda ke tebing, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air.
Mungkin Nazri tidak tahu. Jika dia sengaja buat, tidak menjadi masalah apa-apa. Bukan isu besar. Lagi pun tidak ada apa-apa kejadian malang yang berlaku ketika rumah terbuka tersebut.
Jangan jadi kaduk naik junjung. Berpada-padalah. Tidak perlu berkelahi dengan Nazri Aziz. Malah perlu berterima kasih kerana selaku Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, saya fikir ramai orang Cina yang telah dibantu dan dikayakannya, terutama dalam sektor perhotelan dan pelancongan.
Saya hanya akur kepada MCA jika mereka hormat kepada Islam dan pada masa sama berjaya menarik undi Cina kepada BN. Tetapi boleh dikatakan majoriti besar undi pergi kepada DAP. MCA hanya mengharapkan undi Melayu. Apakah ini sebenarnya jasa kepada negara? Tidak jasa yang ditinggalkan itu adalah hasil daripada ihsan orang Melayu yang memberi kemenangan kepada MCA?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
.
The post Kasihan.. naifnya MCA appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.