
PEMIMPIN ultra kiasu menafikan sekeras-kerasnya menerima derma atau sumbangan daripada taikun ultra kiasu seperti dilaporkan beberapa media arus perdana. Saya tidak fikir ultra kiasu akan mengaku, kerana sudah tentu berita ini makan tuan. Siapa nak mengaku berak tengah jalan.
Saya tidak fikir taikun ultra kiasu tersebut akan berterus terang atau secara terang memasukkan sejumlah wang langsung kepada akaun ultra kiasu. Sudah tentu dalam soal ini mereka akan bertindak licik. Derma atau sumbangan ini akan diberikan melalui cara lain, mungkin ada pengantaranya.
Sama seperti berlaku kepada laman web ultra kiasu apabila mahkamah memerintahkan supaya membayar kos lebih kurang RM300,000. Maka segera ultra kiasu ini melancarkan kutipan derma. Dalam masa tidak sampai seminggu sudah mencapai sasarannya. Sekarang ini, mereka membuka akaun lain pula, jika ditakdirkan terpaksa membayar kos guaman yang lain.
Saya fikir ultra kiasu tidak sebodoh yang difikirkan untuk memberikan derma atau sumbangan secara langsung. Mereka mesti secara berstrategi dan taktikal. Saya amat yakin, selepas ini akan ramai ultra kiasu akan memberi sumbangan kepada parti ultra kiasu ini.
PRU14 adalah kemuncak dan penentu kepada hidup mati dan masa depan ultra kiasu. Mereka mahu memastikan kejayaan dapat diraih dalam PRU14, dalam pada UMNO dilihat berada dalam keadaan ‘lemah’ dengan isu-isu kontroversi yang melanda. Jika tidak peluang ini mungkin tidak muncul pada masa akan datang. Lima tahun lagi adalah suatu keadaan yang sukar untuk diramalkan.
Pada awalnya mereka sangat yakin ketika PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat (PR). Tetapi apabila PAS keluar daripada PR, mereka seolah-olah kehilangan ibu. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari rakan baharu. Mereka hasut pemimpin atau ahli PAS yang liberal agar keluar daripada PAS dan menubuh parti baharu. Strategi ini ternyata berjaya. Akhirnya, membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (PAN). Orang Melayu berpecah lagi.
Pucuk dicita ulam mendatang, perpecahan dalam UMNO yang membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dimanipulasi sepenuhnya bagi memastikan orang Melayu terus berpecah.
Kini, semua strategi dan harapan mereka telah tercapai dengan tertubuhnya Pakatan Harapan (PH). Saat yang dinanti telah tiba. Ultra kiasu sedang mengumpul segala tenaga dan kekuatan sehingga menuju puncak untuk menawan Putrajaya.
Saya amat yakin taikun-taikun ultra kiasu sedang berbondong di belakang untuk memastikan ultra kiasu ini berjaya sepenuhnya pada PRU14. Mereka menjelma dalam bentuk lain, bukan nama sebenar. Tetapi mereka tetap taikun ultra kiasu memberi bantuan kepada parti ultra kiasu.
Mereka takut, jika mereka menyerlah nama sebenar, ditakdirkan PH gagal dalam PRU14, sudah tentu nasib mereka ibarat berada di hujung tanduk.
Ultra kiasu tetap ultra kiasu. Mereka bukan bodoh politik. Kita yang perbodohkan. Saya sangat pelik kenapa kita masih buta dan tidak nampak kebobrokan mereka itu. Malah, terus bersengketa sesama sendiri dengan memberikan kelebihan kepada ultra kiasu. Mereka terus bersandiwara kononnya mahu memberikan kerusi Parlimen Alor Gajah yang selama ini ditandingi kepada PPBM. Wal hal, ultra kiasu memang tidak boleh menang di kawasan majoriti Melayu.
Ultra kiasu mungkin boleh berlagak kerana menang di kawasan majoriti Cina iaitu kawasan bandar. Tetapi masih lagi tidak boleh menipu Melayu di kawasan majoriti Melayu.
Jika mereka begitu berani dan yakin Melayu menyokong, letakkan sahaja calon Melayu ultra kiasu di Alor Gajah, tidak perlulah bersandiwara. Bukankah bilangan orang Melayu menyertai parti ultra kiasu tersebut sudah bertambah?
Lagi satu, jika ultra kiasu benar-benar baik dan bersopan santun, korbankan kerusi kawasan majoriti Cina yang mereka tandingi selama ini kepada PPBM. Kenapa mahu bersedih memberikannya kepada PPBM. Ini menunjukkan bahawa ultra kiasu tidak boleh ke mana-mana di kawasan majoriti Melayu. Jika ada undi, hanya daripada PAN sahaja.
Justeru, saya amat mengharapkan supaya pihak berkuasa benar-benar dapat mengenal pasti taikun ultra kiasu yang memberikan sumbangan kepada ultra kiasu. Saya amat yakin ramai. Mereka telah berjaya dikayakan dengan sistem yang sedia ada. Apabila berjaya, wang dicurah kepada ultra kiasu.
Janjilah sebanyak manapun bantuan diberikan kepada sekolah Cina termasuk penambahan pembinaannya. Saya tidak nampak ultra kiasu akan mengundi UMNO. Percayalah! Di mata ultra kiasu hari ini, imej UMNO amat buruk. Kalau boleh mereka mahu membenamkan UMNO agar tidak boleh timbul lagi jika ditakdirkan tewas dalam PRU14.
Sebab itulah, saya menyeru kepada UMNO, sekarang ini bukan masa untuk memenangi hati ultra kiasu. Masa yang terdekat ini mesti digunakan untuk memenangi hati orang Melayu, mereka yang sebangsa dan seagama. Pastikan tidak ada undi diberikan kepada ultra kiasu. Kerana di kawasan bandar, ultra kiasu tidak memberikan undi kepada UMNO (BN).
Ini bukan bermakna mengabaikan bukan Islam, ramai lagi Cina dan bukan Islam yang baik-baik. Teruskan menjaga kebajikan mereka yang tidak menentang Islam dengan baik.
Tetapi jangan menjanjikan bulan dan bintang. Memberikan bantuan dan menambah sekolah Cina akan menyakiti hati orang Melayu kerana mereka melihat sendiri beza antara aekolah Cina dengan sekolah agama. Seolah-olah sekolah agama diabaikan.
Pergilah buat perbandingan, sekolah Cina ini hari ini begitu mewah. Prasana dan kemudahan mereka hebat. Berbondong-berbondong taikun ultra kiasu membantu dan menderma. Hatta SJKC kurang murid seperti SJKC Choon Hwa, Batu 18, Hulu Langat. Hanya mempunyai 23 murid dengan 22 murid terdiri daripada murid Melayu dan hanya ada satu (1) orang murid Cina. SJKC ini terus beroperasi dengan gah walaupun sepatutnya sudah ditutup.
Banding dengan sekolah agama, apakah kita turut memberikan fokus membantunya? Insiden kebakaran di Maahad Tahfiz Keramat yang mengorbankan 23 murid cukup menyayatkan hati. Selepas terbakar, baharu kita bergegas membantu sekolah agama yang dijamin haknya dalam Perlembagaan.
Hari ini, kita sudah tidak lagi memahami apa itu equality dan equity. Equality bermaksud persamaan atau memberikan hak yang sama kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Manakala, equity bermaksud memberikan hak kepada yang berhak yang juga terangkum dalam definisi keadilan. Apakah kita sudah memenuhi tanggungjawab kita memberikan hak kepada yang berhak?
Dalam maksud, persamaan hak misalnya, hak mendapatkan pendidikan bahasa ibunda dengan kewujudan sekolah vernakular. Pada hemat saya, kerajaan sudah menunaikan tanggungjawabnya pada tahap terbaik. Bantuan demi bantuan dan pembinaan demi pembinaan telah diberikan.
Malangnya, mereka beroperasi terlampau kecinaan sehingga sukar untuk dikawal. Malah, PRU14 yang bakal menjelang dijadikan medan untuk mendesak dan mengugut kerajaan sedia ada agar segera menambah lagi pembinaan sekolah Cina. Mereka tidak mengambil serius pun tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak Cina yang sangat rendah.
Kita terus tertipu, undi tidak juga berpihak kepada BN. Begitulah liciknya taikun dan ultra kiasu berpolitik dan berstrategi.
Pendek kata, kita terlalu memberikan perhatian kepada persamaan hak atau equality, sehingga mengabaikan equity, iaitu memberikan hak kepada yang berhak.
Bergenang air mata kadangkala melihat kedudukan sekolah agama. Jauh sekali bezanya dengan sekolah Cina, kerana kita tidak banyak taikun. Sedangkan dari segi hak, bukan sahaja ia berhak, tetapi mendapatkan satu lagi jaminan, mendapatkan hak yang menjadi hak. Semuanya ini sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Cukuplah…cukuplah berpolitik. Saya fikir sempena PRU 14 yang bakal menjelang tiba dalam saat terdekat ini, fokuskanlah untuk memenangi hati orang Melayu yang sudah lama terluka, bukannya ultra kiasu yang sememang mempunyai kemampuan dan taikun-taikun untuk membantu. Sebanyak mana pun yang diberikan, bantuan dan undi tetap terfokus kepada ultra kiasu.
Kita melopong dan berputih mata hanya kerana percaya kepada strategi licik mereka.
Percayalah, semakin banyak sekolah vernakular dibuka, semakin gah sekolah ini. Malang pembinaan negara bangsa tidak banyak berubah. Penguasaan bahasa Melayu mereka masih berada di peringkat yang sangat rendah. Kita mahu membina apa sebenarnya? Membina negara atau mahu mendapatkan kuasa untuk tempoh lima tahun. Selepas itu apa?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Wahai ultra kiasu… siapa nak mengaku berak tengah jalan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.