
Tidakkah di situ akan mengundang fitnah dan mehnah? Saya dah naik menyampah melihat gelagat segelintir pemimpin yang menyusahkan pimpinan parti untuk menjawab masalah yang ditimbulkan, gara-gara memenuhi kehendak nafsu serakah mereka yang tidak dapat dikawal. Hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Tidak mustahil ultra kiasu akan menaja makan minum mereka, kerana perancangan licik mahu mencairkan identiti dan jati diri umat Islam. Malangnya, umat Islam sengaja tidak mahu ambil tahu atau buat-buat tidak tahu kerana mahukan keseronokan duniawi.
Peliknya, banyak lagi tempat yang boleh pergi untuk minum kopi atau teh, seperti Warung Pak Mad, Pak Ayob, Mak Temah, Mak Jenab dan lain-lain warung Pak dan Mak lagi, yang sudah tentu terjamin halal. Kenapa yang dipilih kelab malam atau karaoke? Tempat bersarangnya arak.
Kalau nak standard lagi pergilah ke Paparich dan restoran makanan segera, atau hotel-hotel berbintang yang tidak terlalu menonjol kemungkaran. Ini tidak, kelab malam. Nama pun kelab malam, kelab yang beroperasi pada waktu malam. Mana ada kelab siang jika kelab ini benar-benar halal.
Kelab malam atau yang sewaktu dengannya, sudah disinonim dengan tempat maksiat. Tempat syaitan bersarang. Segelas kopi bukannya murah di situ, berbanding dengan gerai biasa. Ini tidak termasuk berkaraoke. Saya ingatkan mereka sudah menjadi Islamik dalam zaman kebangkitan Islam sekarang, rupanya masih ada segelintir yang jahil.
Bagaimanakah kita mahu mengharapkan mereka mampu menjadi imam solat atau memimpin rakyat ke jalan yang benar?
Maka berhati-hati, jika dipelawa, meskipun dibelanja percuma. Banyak lagi tempat boleh berjumpa. Melambak. Tak tahu pula mahu jadi seperti As-Syahid Hasan Al-Banna, pejuang dan pendakwah hebat, sanggup berdakwah sehingga ke kelab malam.
Adakah terdapat pemimpin sehebat As-Syahid Hasan Al-Banna pada hari ini? Tetapi melihat kepada perwatakan mereka yang ditangkap, jauh sekali untuk menjadi seperti Hasan Al-Banna.
Justeru, bertaubatlah wahai pemimpin sekelian. Berubahlah. Rakyat sedang memerhatikan dan menilai kamu. Meskipun ditakdirkan rakyat tidak nampak, pasti Allah Yang Maha Mengetahui tahu duduk perkara sebenar.
Pendek kata, orang sebegini tidak layak dianggap sebagai pemimpin meskipun nanti dibuktikan tidak bersalah. Apa tujuan masuk ke kelab malam? Itu satu persoalan yang sentiasa bermain di kepala saya. Soal terlibat dengan dadah tidak, kencing positif dadah tau tidak, letak ke tepi dahulu.
Sebelum ini kita telah dikejutkan dengan pelancaran koleksi pakaian muslimah dan tudung oleh seorang artis yang kononnya telah berhijrah. Apabila insiden tersebut menjadi viral, masih lagi mahu mempertahankan tindakannya. Namun, setelah peminatnya naik muak, mampu menggugat perniagaannya, barulah nak bertaubat. Boleh percayakah orang sebegini?
Sempena menjelang PRU14, saya menyeru semua parti politik, supaya mengemukakan calon yang bersih dan berakhlak mulia, jika dirasakan mereka mahu menang. Begitu juga jika dirasakan tidak mahu akan berlaku tsunami politik Melayu yang ketara. Tsunami politik tidak mustahil berlaku jika kita masih tidak berubah. Tidak ada lagi zon selesa sekarang.
Apa jua berita dan kejadian boleh didapati dan dibaca dalam sekelip mata. Bukan macam dahulu kita disogok dengan media sehala sahaja. Hari ini makcik-makcik dan peniaga-peniaga pasar pun boleh mendapat maklumat hanya dengan satu sentuhan.
Justeru, saya mohon kepada semua pemimpin parti yang mahu menang, zaman sekarang, rakyat sudah tidak melihat parti, tetapi memilih pemimpin manakah yang paling berintegriti. Percaya! Pemikiran rakyat Malaysia sudah berubah. Mereka tidak lagi boleh digula-gulakan. Apatah lagi dengan ledakan teknologi maklumat. Maklumat boleh diakses dengan hujung jari, begitu cepat. Kenapa berlaku tsunami pada PRU12 2008?
Persoalan yang sudah terjawab. Sama ada berita benar atau tidak, melalui perkembangan teknologi, rakyat sudah mampu membuat perbandingan.
Justeru, bangunlah. Cerminlah diri. Bertanyalah. Apakah aku layak menjadi seorang pemimpin? Apakah aku mengutamakan rakyat atau tidak? Pada hemat saya, beberapa perkara berikut hendaklah diambil kira oleh pimpinan parti politik sebelum mengetengahkan pemimpin mereka untuk bertanding dalam PRU14:
Pertama, pemimpin mesti dapat menunjukkan akhlak yang mulia kepada rakyat. Mereka hendaklah dalam kalangan yang terdiri daripada kurang melakukan dosa dan maksiat. Dalam kata lain, pemimpin hendaklah berilmu dan beriman, bagi membolehkan mereka dapat menjaga diri dan tidak terpesona dengan godaan dunia. Syarat ini juga terpakai kepada pemimpin bukan Islam. Mereka mesti percaya kepada kewujudan Tuhan dan patuh kepada perintah-Nya.
Kedua, selain daripada ciri-ciri di atas, mereka juga hendaklah juga profesional, terdiri dalam kalangan yang mampu mengurus dan mentadbir negara ini dengan baik. Lulusan agama atau tidak, tidak menjadi masalah, asalkan mereka terdiri dalam kalangan golongan takutkan Allah Subhanahu Wa Taala atau Tuhan kepada bukan Islam. Sudah tentu pemimpin yang melangkah ke kelab malam perlu ditolak.
Ketiga, tunaikan tagline 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Jika sudah terlalu banyak duit, tidak perlulah dihabiskan dengan makan minum di tempat yang mewah-mewah. Gunakan lebihan wang yang ada untuk membantu rakyat daripada menaburkannya kepada pelayan kelab malam. Keluarkan rakyat daripada kemiskinan kerana kemiskinan boleh menjadi malapetaka kepada negara.
Keempat, pemimpin yang terpalit dengan pelbagai kontroversi hendaklah memberikan laluan kepada pemimpin yang kurang kontroversi atau susah untuk dicari kontroversinya. Utamakan parti daripada diri sendiri. Pemimpin akan datang dan pergi, tetapi parti politik akan terus kekal berjuang dengan idealismenya.
Kelima, elakkan juga terlibat dengan skandal terutama berkaitan dengan perempuan. Wanita boleh membawa kita kepada kehancuran jika dihalalkan statusnya. Ramai dalam pemimpin yang suka kahwin dengan artis, akhirnya terpalit dengan kontroversi.
Saya tidak boleh bayangkan orang kuat Parti Amanah Negara (PAN) apabila terpalit dengan kancah rumah tangga gara-gara berkahwin dengan artis. Tuhan Maha Berkuasa, dahulunya dia mengutuk saya hanya kerana tidak sefahaman dan tidak sependapat.
Hari ini rumahtangganya bergelora dan berantakan. Inikah bentuk pemimpin yang mahu kita cari? Rumahtangga sendiri tidak terjaga, masakan mampu menjaga rakyat.
Akhirnya, rakyat adalah raja dalam sistem demokrasi. Mereka adalah hakim yang akan menentukan siapakah pemimpin yang wajar diangkat sebagai pemimpin bagi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.
Pilihlah pemimpin yang paling berintegriti, berpandukan kepada rasa ‘God fearing’ kerana hanya ini sahaja yang mampu mengawal dirinya daripada terjebak kepada kerosakan dan kemungkaran, termasuk minum kopi di kelab malam, meskipun hatinya berniat baik kepada pelayan kelab malam.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
The post Berlakukah tsunami Melayu? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.