Quantcast
Channel: Dr Ridhuan Tee Abdullah – Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb
Viewing all articles
Browse latest Browse all 121

Benarkah nasi lemak dan roti canai menjadi penyatu kaum?

$
0
0

SEORANG profesor ulung yang membuat kajian mengenai etnik dan juga dimasyhurkan sebagai pemikir politik, menjaja idea merata tempat hingga keluar negara, mengenai faktor kedai mamak, nasi lemak, dan roti canai sebagai penyatu kaum.

Hanya kerana semua (tidak semua) kaum di Malaysia ini menyukai makan itu, maka ia dijadikan asas berhujah hingga keluar negara mengatakan bahawa perpaduan kaum di negara kita sudah hebat.

Kita dikatakan tidak berparang, tetapi cuma bertikam lidah atau dibahasakan sebagai; Amongst Malaysians, there is plenty of ‘tongue wagging but not parang wielding’, and Malaysians continuously ‘talk conflict, but walk cohesion’….Apakah hujah sebegini boleh diterima?

Peliknya lagi, profesor inilah yang disanjung untuk membuat kajian lebih banyak mengenai etnik dan perpaduan di Malaysia. Mereka yang ikhlas dan lebih berpijak di bumi nyata diketepikan. Saya amat pelik, kenapa cerdik pandai dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea sebegini?

Bagaimana dengan faktor-faktor lain yang lebih fundamental seperti ejen sosialisasi politik iaitu keluarga, pendidikan, media massa, media elektronik dan lain-lain. Tidakkah faktor ini lebih fundamental daripada makanan seperti nasi lemak dan roti canai?

Hanya kerana semua kaum menyukai makanan ini, maka ia dikatakan sebagai ejen penyatu. Kita sudah dikatakan berada dalam keadaan baik berbanding dengan negara lain. Persoalannya, apakah makanan ini menjadikan mereka bergaul atau berbual mesra?

Jelas kelihatan, setiap kaum hanya makan di kedai mamak dengan ahli keluarga dan kaum masing-masing, selepas itu mereka keluar. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya fikir, ada faktor di dalam yang belum dapat dikeluarkan dan sentiasa dipendam.

Ibarat memadam api. Api sudah berjaya dipadamkan, tetapi baranya masih menyala. Bara inilah yang bahaya kerana ia masih menyala. Nasi lemak dan roti canai belum dapat memadamkan bara ini.

Saya takut selepas ini profesor itu akan berkata KFC, McDonald, A&W, Starbucks dan lain-lain restoran makanan segera Barat sebagai penyatu kaum, hanya kerana semua kaum bertumpu kepada makanan itu. Jika begitulah keadaan, nyatalah pengabis beras sahajalah wang sebegitu banyak diberikan, untuk membuat kajian sedemikian rupa.

Saya fikir sudah sampai masanya cerdik pandai kita atau akademia, berpijak di bumi nyata, supaya tidak diketawakan orang.

Berpijaklah di bumi nyata, faktor pendidikan adalah antara yang fundamental. Dengan ada sekolah berasaskan kaum telah memisahkan kita sekian lama. Faktor ini terbawa-bawa hingga ke sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Kelas peralihan yang diwujudkan tidak banyak membantu, kerana faktor bahasa memisahkan. Mereka yang gagal bahasa Melayu dan tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa ini. Akhirnya, mereka akan berkawan dan bergaul dengan rakan sebangsa. Pergilah buat kajian di sekolah vernakular dan kelas peralihan di sekolah menengah.

Bagi mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, perkara ini pun turut terbawa-bawa. Mereka tidak bercampur. Pelajar Cina dan India yang datang ke kelas menghadiri kuliah lebih selesa duduk sesama mereka.

Pergilah ke universiti awam mana pun, lihatlah adakah siswa-siswa Cina dan India akan duduk bercampur dengan pelajar Melayu? Jawapannya, hampir tiada. Di luar kelas pun mereka akan berjalan sesama kaum mereka.

Keadaan menjadi lebih tenat, apabila sajian makanan disediakan pun mengikut kaum. Akhirnya, siswa-siswi Cina lebih memilih gerai atau restoran Cina, begitu juga India. Justeru, di manakah hujah mengatakan roti canai dan nasi lemak faktor penyatu kaum? Apakah sosialisasi harian menjadi kita semua bercampur gaul?

Jika di universiti awam sudah sedemikian rupa, bayang keadaan di universiti swasta seperti Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), UTAR, Universiti Xiamen dan lain-lain. Saya yakin selepas ini ultra kiasu akan bertanya bagaimana dengan UiTM, UIAM dan lain-lain yang dikhaskan untuk orang Islam dan Bumiputera sahaja? Begitu juga dengan sekolah agama? Tidakkah ini juga menanam bibit perkauman?

Terbaharu, MCA mahukan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC) yang dikendalikan oleh sekolah persendirian Cina, dengan memasukkannya ke dalam manifesto BN bagi menghadapi PRU14 yang bakal menjelang.

Jika tidak, undi orang Cina akan beralih arah kepada pembangkang. Persoalannya, sejak bila undi Cina mengundi BN? Apakah wajar kerajaan mengiktiraf UEC sedangkan langsung tidak mahu patuh garis panduan Kementerian Pendidikan yang mahukan sijil dan sekolah ini lebih berorientasikan Malaysia daripada berkiblatkan negara lain.

Apakah sekolah persendirian Cina mampu menjadi ejen pembinaan negara bangsa yang beroperasi penuh kecinaan?

Bangunlah daripada dunia khayalan dan berpijaklah di bumi nyata. Terlalu banyak faktor yang telah memisahkan kita sejak kecil. Selain sekolah, kita turut dipisahkan dengan media cetak dan media elektronik. Ini belum termasuk tempat tinggal.

Akhbar, radio, saluran TV dan media sosial semua mengikut kaum. Sudah tentu setiap kaum akan selesa dengan bahasa kaum masing-masing. Pergilah ke rumah orang Cina atau India, adakah mereka menonton TV1, TV2, TV3, TV7, TV8, TV9 dan TV Al Hijrah?

Saya boleh katakan, hampir tiada. Meskipun ada stesen TV percuma ini menyediakan berita berasaskan kaum pada waktu perdana atau waktu puncak. Mereka akan mengikuti siaran-siaran berasaskan etnik berbayar daripada negara China dan India.

Begitu juga dengan akhbar harian yang dibaca. Jangan haraplah mereka membawa Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian, kerana akhbar berasaskan mereka jauh lebih banyak bilangannya berbanding akhbar berbahasa kebangsaan.

Akhbar bahasa Cina dan India melebihi akhbar bahasa Melayu. Contoh, Nanyang Siang Pau, China Press, Shin Chew, Oriental Daily, Guang Ming, Kwong Wah Yit Poh dan lain. Ini tidak termasuk akhbar Cina di Sabah dan Sarawak. Belum campur lagi akhbar berbahasa India.

Saya ingin simpulkan akhbar bukan bahasa kebangsaan, jauh lebih banyak berkali ganda daripada akhbar bahasa kebangsaan. Ini tidak termasuk, lambakan majalah mengikut etnik dan media sosial. Apabila pilihan bahasa diberikan, sudah tentu setiap bangsa akan selesa dengan bahasa bangsanya. Rasional dan logik. Tidak boleh salahkan mereka, kita yang membuat dasar.

Perkara ini jauh sekali berbeza, berbanding negara jiran yang benar-benar memperkasakan negara bangsa seperti Thailand dan Indonesia. Mereka akan memastikan agenda kebangsaan diperkasakan, berbanding agenda bangsa atau etnik. Sebab itulah, perpaduan mereka jauh lebih baik berbanding kita.

Ada seorang profesor yang juga anak buah profesor ulung itu berhujah dengan saya kenapa mahu bandingkan dengan Thailand dan Indonesia. Kedua negara ini tidak stabil, berlaku tembak-menembak dan berparang misalnya di Selatan Thailand.

Saya terkejut mendengar hujah profesor itu. Selatan Thai bergolak disebabkan ada sejarahnya. Tetapi soal memperkasakan agenda negara, Thailand amat berjaya. Bahasa Thailand disanjung dan dijunjung. Penduduk Selatan Thailand menguasai bahasa Siam dengan baik. Bahasa Siam berjaya menyatukan mereka.

Berbanding dengan kita di sini, boleh dikatakan sebahagian besar masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Ada yang langsung tidak boleh berkomunikasi.

Begitu juga dengan cara Thailand memartabatkan bahasa Siam dalam produk dan media massa dan media elektronik seperti radio dan TV. Semua produk, saluran atau rancangan luar akan dialihbahasakan kepada bahasa Siam. Menonton filem Hindustan pun dalam bahasa Siam. Kalau tidak percaya, jangan pergi jauh, masuklah ke dalam kapal terbang Siam, mereka akan sambut kita dengan ucapan Siam yang berbunyi ‘swaswadee’. Belum sampai Siam, sudah terasa macam berada di negara Siam apabila di dalam kapal terbang mereka.

Bukan macam kapal terbang kita. Sudahlah pengumuman mengutamakan bahasa Inggeris, dibuatnya pula accent (slang) atau sebutan bunyi loghat orang putih supaya tidak nampak cakap orang putih berbunyi Melayu. Lebih jelek lagi bahasa Melayu sengaja dibunyikan orang putih supaya nampak mereka ini hebat.

Lagu-lagu yang dipasangkan semua lagu orang putih. Boleh dikatakan tidak ada lagu tempatan dipasang. Hina sungguh bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu di mata mereka ini yang mengaku rakyat Malaysia. Agenda negara tidak perkasakan di tempat-tempat yang strategik dan penting.

Ini belum lagi bercakap mengenai pengangkutan awam, seperti ERL, LRT, MRT dan sebagainya. Kadang kala nak cari notis dalam bahasa Melayu pun payah. Semuanya orang putih. In tidak termasuk papan iklan dan notis-notis di tempat awam, boleh dikatakan bahasa negara merempat di bumi sendiri. Ini tidak termasuk lagi GLC-GLC seperti Petronas, Telekom (TM), CIMB, Maybank dan lain-lain.

Kadangkala nak cari notis bahasa Melayu payah jumpa. Hatta, Tabung Haji pun sudah terlebih orang putih. Kita nak bawa ke mana Malaysia ini? Menjadi lebih Barat daripada Barat atau menjadi sebuah negara yang berjati diri agar rakyat dapat menghayati agenda negara dan patriotik.

Kepada mereka yang berpendidikan Barat atau tidak faham soal pembinaan negara bangsa seperti ultra kiasu mungkin melihat perkara ini kecil. Tetapi sebenarnya ia membawa maksud yang sangat mendalam. Bangunlah wahai bangsaku Malaysia. Bangun daripada tidurmu yang lena. Kamu terlalu banyak bermimpi meskipun berada di menara gading atau bergelar profesor ulung.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Benarkah nasi lemak dan roti canai menjadi penyatu kaum? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 121

Trending Articles


FORECLOSURE OF REAL ESTATE MORTGAGE


Tagalog Quotes About Crush – Tagalog Love Quotes


Patama Quotes : Tagalog Inspirational Quotes


5 Tagalog Relationship Rules


Re:Mutton Pies (lleechef)


Sapos para colorear


OFW quotes : Pinoy Tagalog Quotes


Long Distance Relationship Tagalog Love Quotes


INUMAN QUOTES